Most Post

Perkembangan Pondok Pesantren Suryalaya

Perkembangan Pondok Pesantren Suryalaya                 Masa KH Abdullah Mubarok bin Nur Muhammad (Abah Sepuh).                 Riwayat...

Kamis, 18 Agustus 2011

Pengertian Jihad Sesama Islam


Terdapat banyak kekeliruan di kalangan umat Islam tentang pengertian jihad. Kekeliruan pertama ialah tentang makna jihad itu sendiri yang sering dimengertikan sebagai peperangan mengangkat senjata yang membawa kepada pertumpahan darah dan pembunuhan. Yang kedua ialah tentang golongan yang menjadi sasaran jihad atau golongan yang harus diperangi itu.

Ketika berlaku krisis Perang Teluk yang melibatkan dua buah negara Islam iaitu Iraq dan Kuwait, maka kedua-dua belah pihak mendakwa bahawa masing-masing sedang berjihad. Kedua-dua belah pihak mendakwa bahawa mangsa peperangan mereka yang gugur dalam peperangan itu adalah gugur syahid, kerana kedua-duanya sedang berperang jihad.

Peperangan yang dikatakan perang jihad ini sebenarnya tidak menepati makna jihad yang dimaksudkan dalam agama, dan sasaran yang diperangi itu juga bukanlah merupakan sasaran jihad yang sebenarnya seperti yang dituntut oleh agama.
Oleh itu perkara pertama yang seharusnya difahami tentang pengertian jihad ini ialah maksud dan tuntutan jihad serta siapakah atau apakah objek yang seharusnya diperangi dalam menegakkan jihad ini menurut ajaran agama Islam yang suci.
Sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w dari permulaan baginda dibangkitkan menjadi Rasul untuk menegakkan agama Allah s.w.t yang suci di kalangan umat manusia sehinggalah baginda berjaya mengembang dan menegakkan Islam dengan amat kuat sekali sehingga ke hari kiamat nanti, adalah penuh dengan catatan sejarah dan pengajaran yang dapat dijadikan panduan yang amat baik dalam memahami pengertian jihad dan matlamatnya.

Rasulullah s.a.w pada peringkat awal perutusannya di Mekah tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk menentang kekuatan golongan musuhnya dalam berbagai-bagai bidang, khususnya kekuatan fizikal dan mental para pengikut baginda yang amat terhad bilangannya. Oleh itu, jihad baginda pada peringkat awal ini ialah melalui pengajaran baginda bagi menguatkan akidah dan pendidikan bagi meningkatkan rohani dan semangat serta keyakinan diri di kalangan penganut Islam itu sendiri.

Jihad baginda pada peringkat seterusnya ialah kesanggupan baginda dan para sahabat setianya untuk berkorban meninggalkan segala kesenangan dan keselesaan hidup di tanah tumpah darah di Mekah berpindah ke Madinah. Baginda berhijrah ke Madinah dengan segala susah payahnya, adalah satu perintah Allah s.w.t sebagai satu strategi yang penting dan bersejarah dalam perkembangan agama Allah s.w.t dalam fasa barunya, dan dalam mendidik ummah agar dapat mempertingkatkan daya juang mereka dari segi rohani, mental dan fizikal.

Akhirnya setelah baginda mempunyai persiapan yang lengkap dan kekuatan yang dapat menandingi kekuatan musuh serta struktur negara yang kukuh, maka baginda diizinkan berperang menentang pencerobohan dan pengkhianatan para penentangnya yang sengaja melakukan langkah-langkah provokasi bagi menghancurkan agama dan umat Islam. Dalam konteks ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi (kaum Muslimin), kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berkuasa menolong mereka itu, (iaitu) orang-orang yang diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: Tuhan kami hanyalah Allah. (Al-Haj, ayat 39-40).

Maka ketika inilah baginda memasuki medan jihad yang merupakan peperangan suci untuk mempertahankan agama dan diri daripada musuh-musuh yang sememangnya ingin menghancurkan agama dan umatnya.

Jika kita lihat sejarah perjuangan baginda, ternyata bahawa jihad baginda sepanjang perutusannya ialah untuk menentang kejahilan, kemiskinan, hawa nafsu, sifat bongkak, munafik dan sebagainya. Jihad baginda bermula dengan wahyu pertama yang menekankan tentang tulis dan baca. Ini merupakan lambang peningkatan ilmu pengetahuan dan kebudayaan manusia yang tinggi sebagai makhluk yang bertamadun. Kemudian berjihad menghapuskan kemiskinan dan kepapaan yang dialami oleh orang miskin dan anak yatim, seterusnya berjihad dalam bidang pengajaran dan pendidikan bagi mendidik jiwa manusia supaya kuat dan dinamik dari segi rohani, badani dan aklinya.

Inilah jihad dan perjuangan Rasulullah s.a.w yang memenuhi hidupnya, iaitu mempertingkatkan kehidupan umat dan mutu agama dalam semua bidang, termasuk mempertingkatkan akhlak dan moral manusia dengan contoh teladan baginda yang amat mulia tutur kata dan tingkah lakunya.

Pengertian jihad inilah yang seharusnya difahami dan direalisasikan oleh angkatan umat Islam kini, terutamanya dalam menghadapi arus globalisasi dan penindasan baru yang amat kuat melanda masyarakat dan negara-negara Islam sekarang. Kita kini seolah-olah berada pada pusingan pertama ketika baginda Rasulullah s.a.w memulakan perjuangan di Mekah, iaitu yang menuntut jihad untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan, jihad untuk menghapuskan kemunduran dan kemiskinan, jihad untuk mendidik dan mengajar umat supaya menjadi umat yang dinamik, kuat mental dan fizikalnya.
Tetapi sayangnya pengertian jihad yang sering difahami oleh masyarakat kita, ditambah pula oleh kempen pihak media Barat yang sengaja ingin mencemarkan nama baik Islam ialah jihad yang dihadkan kepada perang sabil atau holy war iaitu berperang dengan menggunakan senjata yang melibatkan pembunuhan dan kekerasan, sedangkan jihad dalam pengertian lain tidak lagi dianggap jihad, dan tidak lagi menjadi cara perjuangan umat kita.

Dalam keadaan inilah timbulnya gejala-gejala yang tidak sihat dalam masyarakat Islam, terutamanya ketika umat Islam akan berperang jihad sesama Islam seperti yang berlaku di Teluk. Dan akhir-akhir ini berlaku di antara umat Islam yang berlainan mazhab dan ideologi politiknya, termasuk jihad yang dilancarkan oleh penyokong seorang ketua negara terhadap golongan yang menentang ketua negara mereka, sedangkan kedua-dua golongan itu adalah terdiri dari sesama Islam, yang mengucap dua kalimah syahadah dan berdoa serta menunaikan sembahyang yang sama, dengan bacaan dan kiblat yang sama. Dalam mempertahankan seorang yang mereka puja maka masing-masing akan bertindak secara kekerasan terhadap golongan lain, dan perbuatan ini mereka namakan jihad.

Bagi saya jihad yang perlu kita laksanakan dalam masyarakat moden ini haruslah mempunyai strategi bagi memperkuatkan ilmu pengetahuan, kekuatan ekonomi dan fizikal umat, dan daya tahan yang kukuh untuk menghadapi segala macam cabaran dan permusuhan yang kita hadapi.

Para belia dan pelajar kita seharusnya melipatgandakan usaha dan kerja mereka berjihad untuk mempertingkatkan pencapaian dan mutu ilmu pengetahuan agar dapat bersaing dan mengatasi golongan lain secara sihat. Kemelut kemasukan ke institusi pengajian tinggi yang melanda masyarakat Islam kini seharusnya menjadi pendorong untuk kita terus berjihad dalam erti kata yang sebenar, iaitu mencapai kecemerlangan dalam segala disiplin ilmu pengetahuan.

Ketika itu barulah kita dapat berbangga bahawa kita telah menghayati semangat jihad yang sebenar yang dituntut agama, bukan jihad dalam bentuk serangan sesama sendiri, sama ada menggunakan senjata atau lidah yang tidak bertulang.


By Abu Bakar Bin Ahamd Mansor 
(S.Kom.I., C.St., CH., CHt., NNLP.,)